Persidangan Kebangsaan  Guru Cemerlang Malaysia

Oleh: Hj.Rodzli Hashim ( NYDP MGCM / YDP MGCN Kedah )

 

Persidangan Kebangsaan Guru Cemerlang Malaysia 2007 telah dilaksanakan pada 3-6 September 2007 bertempat di The Zon Regency Hotel, Johor Bharu,Johor. Persidangan kali ini telah dirasmikan oleh YB Dato’ Noh Hj.Omar, Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia pada  4 September 2007.    

 

Persidangan tahun ini telah memilih “ Guru Cemerlang Penjana Modal Insan Berkualiti” sebagai tema persidangan. Tema ini dipilih kerana bersesuaian dengan peranan Guru Cemerlang  seiring dengan hasrat PIPP  2006-2010 ( Pelan Induk Pembangunan Pendidikan ) iaitu untuk membangunkan modal insan.  Persidangan ini adalah anjuran bersama Jemaah Nazir Sekolah dan Majlis  Cemerlang Malaysia (MGCM).

 

Seramai 208 orang Guru Cemerlang merangkumi  Guru Cemerlang sekolah rendah dan menengah telah dijemput menghadiri persidangan ini. Sejumlah 18 kertas kerja berkaitan amalan terbaik P&P Guru Cemerlang telah dibentangkan dan 18 kertas kerja lagi telah dibukukan dalam buku Kertaskerja Persidangan.

 

Selain dari itu, dalam sesi umum, bekas Ketua Nazir Sekolah, Datuk Cg Rahim Tahir , Datuk Johan Jaafar turut membentang kertaskeja mereka.  Sesi Forum bertajuk Guru Cemelang Penjana Modal Insan Berkualiti telah disampaikan oleh Prof.Ir.Dr.Hasanan Md.Nor ( Dekan Pusat P&P UTM, Skudai), En.Md.Hasidin Zaini ( KPP Sektor Sekolah Berasrama  Penuh, Bahagian Sekolah ) dan Tuan Hj. Zakaria Hj.A.Shukor ( Pengarah IPG Temenggong Ibrahim, Johor Bharu ). Forum tersebut dipengerusikan oleh Hj.Rodzli Hashim , Naib YDP MGCM  ( Guru Cemerlang Geografi  Negeri Kedah).

 

YB Menteri Besar Johor telah menyumbangkan  jamuan makan malam pada 5 September 2007.

 

Dalam ucapan perasmian, YB Timbalan Menteri Pelajaran, telah menyarankan agar khidmat kepakaran Guru Cemerlang digunakan di semua daerah atau Dewan Undangan Negeri atau kawasan Parlimen  kerana peruntukan khas telah diberikan kepada wakil rakyat untuk meningkatkan pencapaian pendidikan di kawasan masing-masing.  Kepakaran Guru Cemerlang perlu digunakan oleh sekolah-sekolah untuk membantu meningkatkan pencapaian pelajar kerana Guru-Guru Cemerlang mempunyai cara atau teknik tersendiri dalam membimbing pembelajaran pelajar. YB Dato’ juga telah menyatakan persetujuannya menjadi “Bapa Angkat” kepada kumpulan Guru Cemerlang Malaysia.

 

YB Timbalan Menteri Pelajaran juga telah melancarkan buku koleksi kisah pengalaman Guru Cemerlang bertajuk “ Terima Kasih Tuhan” serta melancarkan lagu rasmi Guru Cemerlang.  Lagu Guru Cemerlang dicipta oleh L.Y  (Jemaah Nazir Sekolah) dan liriknya ditulis oleh Baiduri.

 

Mesyuarat Agung MGCM kali ke 5 juga telah dilangsungkan. Mulai September 2007 YDP MGCM akan  dipangku oleh  Hj.Rodzli Hashim , YDP MGCN Kedah ( Guru Cemerlang Geografi Gred Khas C SMK Dato’Syed Omar, Alor Star) kerana , En.Azizul Rahman Bin Abdul Rahman yang menjadi YDP MGCM, tidak lagi menjadi YDP MGCN Johor disebabkan oleh perubahan kepimpinan MGCN Johor mulai Ogos 2007. Mengikut perlembagaan MGCM, AJK MGCM adalah terdiri daripada YDP MGC Negeri dan 7 orang AJK yang dilantik oleh AJK Tertinggi MGCM.

 

Yang menarik dan terpenting hasil persidangan ini ialah pelancaran buku Terima Kasih Tuhan yang memuatkan pengkisahan pengalaman Guru Cemerlang  mengharungi  pelbagai  cabaran sebagai guru,  sehingga menjadi Guru Cemerlang. Buku Terima Kasih Tuhan ditulis oleh 21 orang Guru Cemerlang dan dicetak oleh Utusan Publication.

 

Penghasilan koleksi 36 kertas kerja amalan terbaik P&P Guru Cemerlang seluruh Malaysia juga menjadi bahan penting untuk profesionalisme guru . Di samping itu, persidangan ini menjadi pentas terbaik kepada  Guru-Guru Cemerlang untuk bertemu dan bertukar-tukar pengalaman dalam  memantapkan profesionalisme keguruan.

 

Majlis penutupan persidangan disempurnakan oleh Pn.Esah Jantan , Timbalan Ketua Nazir Sekolah Bahagian Operasi, Jemaah Nazir Sekolah , Putrajaya.

 

Tahniah dan syabas kepada semua AJK MGCM, AJK Persidangan Kebangsaan Guru Cemerlang serta Jemaah Nazir Sekolah yang telah berjaya menyempurnakan persidangan  tersebut.